Kerjasama OUM & CCIG perkasa industri kreatif Malaysia

Posted on

Secara umumnya, CCIG telah dicetuskan oleh kerajaan Malaysia di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi meningkatkan profesionalisme modal insan industri kreatif.

Peranan utama CCIG adalah untuk mengumpulkan data-data pengamal industri kreatif dan seterusnya memberi pentauliahan industri berdasarkan kerangka Creative Content Industry Recognition Framework (CCIRF) yang telah dirumuskan pada Januari 2013 bagi melahirkan industri yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kerangka CCIRF dikuantifikasi berdasarkan empat faktor iaitu Pengalaman, Kemahiran, Sumbangan dan Pencapaian. Setiap calon yang diaku-sah telah melalui proses akreditasi masing-masing menurut standard piawaian dan kriteria yang ditetapkan bagi setiap kluster mereka.

Pengerusi CCIG, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata, selain berperanan untuk meningkatkan profesionalisme modal insan industri kreatif, CCIG juga bertindak sebagai badan akreditasi tunggal untuk pengamal industri kreatif dalam bidang pengkhususan yang diceburi oleh mereka.

Pada masa ini, terdapat 6,641 pengamal kandungan kreatif berdaftar dengan CCIG dan seramai 465 ahli telah ditauliahkan.

“Dengan termeterainya kerjasama antara OUM dan CCIG, pengamal dan peserta industri kreatif boleh mendapat pengiktirafan kemahiran menerusi program-program latihan yang bakal dianjurkan. Pengiktirafan tersebut membolehkan pemain industri menjana pendapatan setaraf dengan kemahiran mereka.

“Sehingga kini, bilangan peserta dan pengamal industri kreatif adalah dianggarkan mencecah 100,000 orang dalam pelbagai lapangan yang menyumbang pendapatan menjangkaui RM3billion serta peluang pekerjaan baharu kepada 10,400 orang menjelang tahun 2020,” katanya.

CCIG dengan kerjasama OUM bakal membangunkan pelbagai program TVET dalam bidang kemahiran keperluan industry kreatif yang bakal diberi pengiktirafan oleh FINAS dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Kursus yang ditawarkan kelak akan dibuka kepada semua ahli CCIG termasuk peserta industri yang sedia ada. Kursus akan ditawarkan di 31 pusat pembelajaran di seluruh Malaysia.